Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Usahawan.
Setinggi-tinggi syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya buku Panduan Asas Usahawan (PadU) berjaya diterbitkan.
Buku ini dihasilkan sebagai panduan dan rujukan kepada usahawan di seluruh negara dengan berlandaskan strategi dan inisiatif Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) yang meletakkan Malaysia di landasan tepat, ke arah Negara Keusahawanan Unggul menjelang tahun 2030.
PadU merupakan sebuah buku berteraskan ilmu asas keusahawanan yang bertindak untuk mendidik usahawan baru, serta berfungsi sebagai rujukan teras kepada usahawan berpengalaman.
Penulisan isi kandungannya dikarang oleh gabungan BisKaunselor INSKEN yang terdiri daripada kumpulan usahawan, pakar industri, tenaga pengajar dan penasihat dari pelbagai sektor industri dengan tujuan pendidikan, penyampaian dan pemahaman yang tepat dan praktikal.
Kejayaan penerbitan buku ini juga merupakan hasil kerjasama yang amat baik daripada warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Pelaksanaan pelan strategik ini akan memberi manfaat kepada pihak berkepentingan di peringkat kementerian khususnya rakyat dan usahawan. Usaha ini seterusnya dapat membantu mencapai hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 iaitu mewujudkan taraf hidup yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia menjelang tahun 2030.
Bagi pihak INSKEN, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KUSKOP serta semua pihak yang bekerjasama dalam menyumbang idea dan kepakaran bagi menjayakan penerbitan buku Panduan Asas Usahawan (PadU). Semoga buku ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh semua usahawan di Malaysia.
Sekian, terima kasih.
Muhd Firdaus Azharuddin
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN)